Pengaruh kebudayaan Joseph Merrick

Susulan penerbitan buku Montagu, Merrick sekali lagi mendapat perhatian ramai sekitar tahun 1980 apabila dijadikan subjek untuk teater pentas The Elephant Man yang diperkenalkan pada tahun 1979 dan memenangi Anugerah Tony, yang mana watak Merrick mula-mulanya dilakonkan oleh Philip Anglim, kemudian diganti oleh David Bowie. Pada tahun 1980, keluarnya dalam pawagam filem The Elephant Man yang dicalonkan untuk Anugerah Akademi, John Hurt memegang watak Merrick. Pada tahun 1980 juga keluarnya novel berasaskan filem tersebut yang dikarang oleh Christine Sparks. Setiap hasil penerbitan ini mengambil pendekatan tersendiri terhadap kisah benar ini. Pada tahun 1982, teater pentas ini disiarkan sebagai rancangan televisyen. Selalunya, pelakon yang memainkan watak Merrick tidak bersolek apa-apa pun, sebaliknya meniru gerak-gerinya maka penonton terpaksa membayangkan kecacatannya.

Pada bulan Mei 1987, timbulnya laporan yang menyatakan bahawa Michael Jackson menawarkan sebanyak $1 juta kepada Hospital London Diraja untuk membeli rangka Merrick. Laporan-laporan tersebut merangkumi petikan kenyataan dari pihak Hospital dan juga jurucakap Jackson.[6][7] Jackson membalas dakwaan tersebut dengan menyertakan babak tarian bersama animasi rangka orang gajah dalam video muzik bagi lagu "Leave Me Alone" pada tahun 1989, yang juga mengajuk cerita-cerita akhbar lain mengenai beliau. Pada tahun 1993, Jackson secara terus-terang menafikan laporan-laporan tersebut ketika ditemubual oleh Oprah Winfrey:

Lagi cerita mengarut. Saya mengagumi kisah Orang Gajah itu. Beliau mengingatkan saya kepada diri saya, jadi saya juga amat memahaminya. Terasa hendak menangis apabila melihat diri saya dalam kisah itu, tetapi saya tidak pernah meminta—Mana nak letak tulang-tulangnya? Mengapa saya nak tulang tu?… Orang reka cerita, semua percaya. Jika terdengar bohong acap kali, maka terasa hendak percaya.